Bilakah anda akan mula mengalami pendarahan dan berapa lamakah ia berlangsung?

Mifepristone sahaja biasanya tidak menyebabkan sebarang kesan sampingan sebelum pengambilan Misoprostol, walaupun sesetengah perempuan mungkin mengalami pendarahan ringan ataupun loya.

Selepas menggunakan Misoprostol, anda patut menjangkakan pendarahan dan kekejangan. Pendarahan biasanya bermula empat jam selepas menggunakan pil, tetapi kadangkala ia bermula sedikit kemudian.

Untuk sesetengah perempuan, pendarahan dan kekejangan serta kesan sampingan lain seperti loya, muntah, cirit-birit, sakit kepala, pening dan panas ataupun demam mungkin akan muncul selepas pengambilan Misoprostol.

Pendarahan selalunya adalah tanda pertama bahawa pengguguran telah bermula. Sekiranya pengguguran berterusan, pendarahan dan kekejangan akan menjadi lebih hebat. Pendarahan selalunya lebih banyak dari datang haid, dan akan ada ketulan darah. Semakin lama kehamilan berkembang, semakin hebat kekejangan dan pendarahan yang akan dirasai. Sekiranya pengguguran selesai, pendarahan dan kekejangan akan berakhir. Saat-saat terjadinya pengguguran boleh dirasai melalui pendarahan yang banyak, kesakitan dan kekejangan.

Biasanya pendarahan akan berterusan secara ringan untuk satu hingga tiga minggu selepas pengguguran, namun ia mungkin lain-lain bagi setiap orang. Tempoh haid normal akan kembali semula selepas empat hingga enam minggu.

Pendarahan yang paling banyak sekali biasanya akan berlaku 2-5 jam selepas menggunakan Misoprostol dan biasanya akan berkurang dalam tempoh 24 jam. Kekejangan dan pendarahan akan berlangsung selama 3-5 jam, namun ia boleh berterusan untuk waktu yang lebih singkat atau lebih lama. Sesetengah perempuan mengalami pendarahan yang banyak selama 48 jam dan mungkin mengeluarkan ketulan darah berhari-hari atau berminggu-minggu selepas mengambil Misoprostol. Ini adalah perkara biasa dan tidak berbahaya, melainkan pendarahan tersebut memenuhkan 2 tuala wanita bersaiz maxi setiap jam selama 2 jam atau lebih, ataupun apabila anda mengeluarkan ketulan darah yang lebih besar dari sebiji oren. Ia adalah normal untuk tubuh anda untuk mengambil masa untuk mengosongkan rahim anda sepenuhnya. Setiap badan perempuan adalah berbeza.

93