Adakah anda memerlukan bantuan kaunseling psikologi selepas anda melakukan pengguguran?
Kebanyakan wanita tidak memerlukan sebarang bantuan psikologikal selepas melakukan pengguguran. Rasa kesal selepas melakukan pengguguran adalah jarang berlaku. Sesunggguhnya, tindakbalas emosi yang paling biasa selepas melakukan pengguguran adalah kelegaan. Perasaan bersalah, kesedihan, atau rasa kehilangan adalah biasa tetapi kebanyakan wanita boleh mengatasi perasaan negatif ini yang mungkin akan memberi kesan kepada mereka. Adalah normal untuk berasa emosi setelah melakukan pengguguran. Walaupun anda mungkin mengalami perasaan sedih atau hiba, tetapi perasaan ini akan hilang dengan sendirinya selepas beberapa hari. Tetapi di negara di mana tabu dan stigma sosial adalah perkara yang besar, mungkin adalah biasa bagi para wanita untuk mengalami perasaan bersalah dan malu. Sekiranya anda berasa tidak pasti bahawa kaedah rawatan pengguguran secara perubatan adalah yang paling tepat buat anda, kami menggalakkananda untuk berbincang mengenainya terlebih dahulu dengan teman rapat yang boleh anda percayai.
Bagaimanakah perasaan wanita setelah melakukan pengguguran?
Setiap wanita adalah unik dan tidak sama dalam hal perasaan mereka setelah melakukan pengguguran. Kebanyakan wanita melaporkan perasaan yang lega bahawa mereka telah membuat keputusan yang terbaik dalam beberapa keadaan. Ini adalah tindakbalas yang paling biasa. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah wanita, pengguguran boleh meningkatkan tindakbalas emosional seperti kesedihan, rasa bersalah, kemarahan, perasaan malu dan kekesalan. Sesetengah wanita berasa diri mereka teruk kerana mereka tidak rasa bersalah kerana melakukan pengguguran, tetapi kerana mereka fikir bahawa mereka patut rasa bersalah. Secara umumnya, memahami kesakitan emosional anda boleh membantu anda untuk mula melepaskan diri dari perasaan hiba, rasa bersalah, kemarahan atau rasa malu yang anda mungkin alami. Adalah penting untuk mengakui bahawa anda sedang sakit hati dan boleh menjaga diri anda sendiri apabila anda mengalami kesusahan.
Anda bukanlah seorang manusia yang jahat kerana anda telah melakukan pengguguran. Anda tidak bersendirian dalam memilih untuk melakukan pengguguran. Ramai wanita yang terkejut apabila mengetahui bahawa terdapat 42 juta wanita di seluruh dunia yang melakukan pengguguran setiap tahun.
Apakah perkara yang mungkin menyumbang kepada wanita yang berasa kesusahan setelah melakukan pengguguran?
Hormon anda akan berubah kembali kepada keadaan pra-kehamilan. Perubahan kimia ini akan menyebabkan perasaan sedih dan kepiluan. Orang lain mungkin telah memberi tekanan kepada anda untuk melakukan pengguguran, dan bukannya membiarkan anda untuk mengambil keputusan sendiri.
Anda mungkin tidak mempunyai sokongan yang secukupknya dari rakan-rakan atau keluarga anda. Pengasingan adalah sebab yang utama mengapa wanita sering berasa kesusahan selepas melakukan pengguguran.
Anda mungkin berasa berbelah bagi mengenai keputusan anda untuk melakukan pengguguran. Ia mungkin tidak jelas kepada anda bahawa pengguguran adalah keputusan yang tetap di dalam keadaan anda sekarang.
Anda mungkin berasa seperti ditinggalkan dan bersendirian. Mungkin anda berharap bahawa lelaki yang menghamilkan anda mungkin mahu mempunyai anak bersama anda. Mungkin dia tidak sanggup untuk melakukannya, membuatkan anda berasa sedih.
Mungkin anda mempunyai keyakinan diri yang rendah dan sentiasa berasa teruk terhadap diri anda sendiri.
Bahagian lain dalam hidup anda mungkin sangat tertekan – dengan persekolahan, kerja anda, anak anda dan lain-lain.
Anda mungkin berasa takut bahawa anda mungkin tidak akan dapat hamil lagi selepas ini. Jika ini satu kerisauan buat anda, jangan bimbang kerana pengguguran secara perubatan yang selamat tidak akan menyebabkan anda mandul atau tidak subur di masa hadapan.
Bila-bila masa anda perlu melakukan keputusan yang sukar, adalah wajar untuk berasa bimbang “bagaimana jika saya membuat keputusan yang lain pada ketika itu?” dan kemudian anda akan menderita disebabkan keputusan tersebut.
Pengguguran mungkin akan menimbulkan pengalaman lama atau perasaan yang telah lama anda pendamkan. Sebagai contoh, sekiranya penderaan seksual adalah sebahagian dari kisah lampau dalam hidup anda, anda mungkin akan mendapati anda sedang menghidupkan semula perasaan yang berkaitan dengan penderaan anda. Pendedahan terhadap kehamilan dan pengguguran mungkin akan memicu emosi anda untuk mengingati semula kisah lampau anda di mana anda berasa takut dan terdedah kepada bahaya.
Adakah ia normal untuk berasa tertekan dan kemurungan selepas melakukan pengguguran?
Di dalam kes-kes yang terpencil, para wanita mungkin akan mengalami kemurungan klinikal selepas melakukan pengguguran. Sekiranya perasaan anda adalah luar biasa dan berasakan seperti tiada jalan penyelesaian atau anda mengalami tanda-tanda kemurungan, anda perlu mendapatkan bantuan profesional.
Terdapat beberapa faktor yang diketahui umum sebagai penyumbang kepada risiko kemurungan setelah melakukan pengguguran, termasuklah mempunyai sejarah kesihatan berkaitan kemurungan, keresahan atau panik. Kemurungan adalah penyakit yang amat serius. Adalah sangat penting bagi anda untuk mendapatkan bantuan dari golongan profesional seperti doktor, kaunselor atau ahli terapi sekiranya anda percaya anda sedang mengalami kemurungan.
Apa itu “Sindrom Pasca-Pengguguran"?
Sebuah konsensus umum telah dicapai dalam komuniti perubatan dan saintifik bahawa kebanyakan wanita yang melakukan pengguguran akan mengalami sedikit atau tiada kecederaan psikologikal langsung. Walau bagaimanapun, ramai orang yang menentang pengguguran mendakwa bahawa para wanita yang melakukan pengguguran ini akan mengalami sejenis masalah kecelaruan stres pascatrauma yang dikenali sebagai “sindrom pasca-pengguguran”.
Kajian yang boleh dipercayai dan tidak berat sebelah telah menunjukkan bahawa, walaupun gangguan psikologi boleh berlaku selepas melakukan pengguguran, ia bukanlah perkara yang selalu berlaku dan secara umumnya bersifat ringan dan dalam tempoh yang singkat.
Ramai ahli psikiatri pakar meragui kewujudan “sindrom pasca-pengguguran” ini dan menjelaskan bahawa pengguguran tidak jauh berbeza dengan pengalaman hidup lain yang memberi tekanan yang mungkin boleh mengakibatkan trauma bagi sesetengah orang.
Apa yang saya boleh lakukan untuk menyembuhkan diri saya sendiri selepas melakukan pengguguran?
Selepas melakukan pengguguran, terdapat beberapa perkara konkrit yang anda boleh lakukan yang dapat membantu anda berdamai dengan keputusan anda. Cadangan yang berikut boleh membantu anda menerima dan menangani perasaan anda, menghilangkan kesedihan anda dan membantu anda mencapai “kata putus” terhadap pengalaman pengguguran anda.
Membenarkan diri anda untuk meluahkan sebarang kesedihan dan kehibaan yang sedang anda alami boleh membantu mengurangkannya. Anda tidak akan selalu berasa seperti ini.
Jangan terlalu berkeras kepada diri anda sendiri. Bercakaplah dengan diri anda dalam cara yang penuh dengan kepastian dan keyakinan. Anda adalah seorang manusia yang baik. Anda adalah seorang manusia yang bermoral.
Ingatkan diri anda bahawa anda adalah seorang yang berani – anda telah membuat sebuah keputusan yang sukar.
Ingatkan diri anda mengapa anda mengambil keputusan untuk melakukan pengguguran.
Ingatlah bahawa anda telah membuat keputusan tepat yang boleh anda lakukan di dalam apa jua keadaan.
Tanya pada diri anda, sekiranya anda berharap untuk mengalami kehamilan yang dirancang suatu hari nanti, bagaimanakah keadaan tersebut akan berbeza berbanding dengan situasi yang anda sedang alami sekarang?
Luahkan perasaan anda di dalam sebuah jurnal atau buku nota khas di mana tiada siapa boleh membacanya kecuali anda.
Fikirkan tentang perkara-perkara yang boleh anda lakukan untuk menjadikan perasaan anda lebih baik. Tuliskan perkara tersebut dan cuba untuk melakukan beberapa perkara tersebut setiap hari.
Ingatkan diri anda tentang masa hadapan. Buat senarai perkara-perkara yang anda mahu lakukan di masa yang akan datang.
Pertimbangkan untuk mewujudkan sebuah “pengakhiran” kepada hubungan anda dengan kehamilan anda dengan menulis sebuah surat mengucapkan selamat tinggal dan simpankannya di sebuah tempat yang selamat atau bakar dan musnahkannya.
Amalkan latihan relaksasi yang boleh membantu anda menangani tekanan dan stres.
Baca kisah-kisah tentang pengalaman wanita lain di bahagian "Saya pernah melakukan pengguguran" di laman web ini. Ia dapat memberi keyakinan dan menjadikan perasaan anda menjadi semakin jelas. 60
Lain wanita, lain perasaannya serta pengalamannya terhadap pengguguran. Kajian-kajian psikologi menunjukkan bahawa para wanita tidak menderita dalam jangka waktu yang lama di atas pengguguran yang mereka pilih untuk lakukan sendiri. Kajian-kajian tersebut juga menunjukkan bahawa para wanita dapat mengatasi perasaan negatif yang boleh memberi kesan kepada mereka. Pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa perasaan menyesal yang hadir selepas melakukan pengguguran adalah amat jarang sekali berlaku. Sesungguhnya, tindakbalas emosi yang paling biasa adalah perasan lega. Rasa bersalah, kesedihan, atau rasa kehilangan adalah biasa, tetapi tiada bukti yang menunjukkan bahawa rutin kaunseling adalah penting atau bermanfaat untuk mengatasi perasaan-perasaan ini.1 Bukti menunjukkan bahawa kebanyakan wanita tidak memerlukan sesi kaunseling selepas melakukan pengguguran.1